Wednesday, 18 July 2012

Isu Kami: Mantapkan Aplikasi Didik Hibur Dalam Pendidikan Di Sekolah

     Didik Hibur, memang menjadi isu yang sedang hebat dan seronok untuk dibincangkan, sejajar dengan tuntutan baru dalam piawaian pendidikan kini - KSSR. Implementasi didik hibur dalam proses pengajaran dan pembelajaran, selain memberi keseronokan murid untuk belajar, ia juga dapat mencungkil bakat terpendam yang ada pada seseorang murid tersebut.
     Didik hibur di dalam kelas boleh diaplikasikan melalui nyanyian, lakonan, pendeklamasian sajak, dan banyak lagi. Paling penting, unsur didik hibur ini bukan sahaja terhad dalam penggunaan pembelajaran Bahasa Melayu, tetapi boleh juga digunakan dalam hampir semua mata pelajaran di sekolah rendah.

"Ini semua bergantung kepada kreativiti seorang guru..." 

Berjumpa lagi dalam post akan datang dengan banyak lagi isu berkaitan didik hibur... Salam.

Contoh didik hibur yang telah diaplikasikan di sekolah

Mendidik sambil berhibur.....dapat ilmu dapat keseronokan

Definisi
Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur. Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati

Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.
Ciri-Ciri Didik Hibur
Antara ciri-ciri didik hibur dalam pengajaran adalah seperti berikut:
 
(i)     Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.
 
(ii)     Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.
 
(iii)     Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.
 
(iv)    Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan  pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.
 
(v)     Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti p&p.
 
(vi)    Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.
 
(vii)    Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.
 
(viii)    Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik  dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.
 
(ix)      Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.
 
(x)       Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.

Monday, 16 July 2012

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Mutiara Hati

"Tiada pelita di dunia ini yang dapat menerangi kehidupan di dunia dan di akhirat kecuali pelita hati yang disinari cahaya keimanan"