Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadualkan pada 11 September ini, bukan saja mendebarkan 517,139 calonnya tetapi juga merisaukan ibu bapa. Ibu bapa yang prihatin dengan pendidikan anak, tentu bimbang jika anak mereka gagal melakukan yang terbaik dan mencatat keputusan 5A.
Mereka berusaha memastikan anak masing-masing menguasai pelajaran terutama ketika berada di Tahun Empat, Lima dan Enam. Mereka mendaftar anak ke kelas tuisyen swasta, menghantar anak ke kelas tambahan di sekolah, membeli beberapa buku latihan dan membawa menghadiri kelas motivasi atau persediaan peperiksaan.
Walaupun Kementerian Pelajaran menamakan ujian, UPSR pada pandangan ibu bapa adalah peperiksaan perdana dan penting hingga mendorong mereka melakukan apa saja untuk membantu anak. Sesetengah mereka yang mempunyai anak sederhana atau lemah melahirkan rasa kecewa dengan cara sekolah membeza-bezakan calon mengikuti kelas berdasarkan tahap pencapaian akademik.
Jika kanak-kanak ini tidak mencatat 5A atau 4A, ada potensi lain yang belum digilap kerana Falsafah Pendidikan Negara seharusnya juga membangunkan jasmani, emosi” dan rohani."
Kecewa kelaskan murid
Ada juga ibu bapa yang mengadu bahawa sekolah enggan menjual Buku Soalan Latihan UPSR Didik-BH kepada anaknya kerana calon berkenaan tidak berada dalam kumpulan murid harapan.
Zainal, seorang bapa dari Port Dickson, Negeri Sembilan terpaksa bergegas ke Seremban untuk mendapatkan set buku itu kerana sekolah anaknya hanya menempah cukup untuk murid kelas hadapan.
Seorang ibu dari Semenyih, Selangor pula bertanya kepada penulis sama ada anaknya layak mengikuti Klinik UPSR Didik-BH kerana anaknya berada di kelas pertengahan daripada hampir 10 kelas yang akan menduduki UPSR, Selasa depan. Anaknya tidak tersenarai untuk sebarang program persediaan dikendalikan sekolah.
Tinjauan rambang di bandar atau luar bandar mendapati rata-rata sekolah meletakkan calon UPSR ini dalam kumpulan pandai, sederhana dan lemah. Pengasingan ini bertujuan memudahkan pengajaran oleh guru dengan memberi tumpuan mengikut tahap kecerdasan murid. Calon yang sudah cemerlang diberi pelbagai program penggayaan untuk memastikan mereka mendapat 5A dan seterusnya meningkatkan pencapaian sekolah.
Calon sederhana dibantu dengan bimbingan tambahan supaya mereka boleh mencapai tahap 5A dan membantu menaikkan lagi prestasi sekolah. Calon yang lemah pula dipastikan mereka menguasai kemahiran asas untuk mendapat Gred C dalam semua mata pelajaran dan tidak gagal hingga ‘mencacatkan’ graf pencapaian sekolah.
Tiada arahan kementerian
Temu bual penulis dengan guru besar cemerlang mendapati Kementerian Pelajaran tidak pernah mengeluarkan arahan atau pekeliling untuk mengasingkan murid mengikuti pencapaian akademik. Pengasingan itu dilakukan atas budi bicara sekolah.
Katanya, beliau faham dengan kehendak ibu bapa semuanya mahu anak mereka menjadi yang terbaik dengan mengumpamakan kanak-kanak itu seperti matahari.
“Kalau tidak dapat menjadi matahari, jadi bintang pun boleh,” katanya.
Ibu bapa perlu ingat bahawa UPSR hanya menguji kemahiran intelek. Jika kanak-kanak ini tidak mencatat 5A atau 4A, ada potensi lain yang belum digilap kerana Falsafah Pendidikan Negara seharusnya juga membangunkan jasmani, emosi dan rohani.
No comments:
Post a Comment